Aku anak kampung. Ibubapaku orang kampung. Mereka memerah keringat untuk mengumpul wang bagi menyara kehidupan keluarga. Mereka mengikat perut untuk memastikan wang sekolah mencukupi untuk belanjaku ke sekolah. Itu pun tidak mencukupi. Aku berjalan kaki kira-kira 3 km untuk ke sekolah. Aku terpaksa memikul beg dan kasutku kerana jalan becak apabila hujan. Aku terpaksa berkaki ayam dalam selut. Setelah cukup wang, baru sebuah basikal buruk dapat dibeli untuk memudahkan diriku ke sekolah.
Aku sememangnya rajin dan tekun belajar. Aku sememangnya terlalu positif untuk berjaya. Atas dorongan dan nasihat kedua orang tuaku, aku akhirnya berjaya menjadi seorang mahasiswa dan graduan. Orang tuaku memang berjasa besar terhadap diriku. Ya Allah Ya Tuhanku masukkanlah mereka berdua dalam golongan ahli Syurga FirdausMu. Ya Allah, peliharalah mereka berdua dengan sebaik-baiknya sama seperti mereka memelihara dan menjaga diriku sehingga aku dewasa. Aku sungguh terhutang budi kepada mereka berdua, hanyaMu Ya Allah yang boleh membalas jasa mereka kepada diriku. Syukur Alhamdullillah, aku dan keluargaku sekarang agak berjaya dalam kehidupan harian kami. Karier pekerjaanku agak lumayan, perniagaanku ke arah perkembangan yang berlipat kali ganda.
Walaupun diriku berjaya, kenapa diriku masih tidak begitu gembira? Aku masih tidak merasa kesenangan yang mutlak. Aku masih tidak mencapai kepuasan hidup yang sebenar. Aku masih rasa bersalah. Aku masih rasa kecewa dan aku masih rasa sedih.
Aku masih belum gembira kerana aku masih melihat bangsaku masih ramai yang tidak gembira. Aku masih tidak merasa kesenangan yang mutlak kerana bangsaku masih lagi walaupun telah lama merdeka, tidak merdeka dari segi ekonomi. Aku masih tidak mencapai kepuasan hidup kerana bangsaku masih lagi terkial-kial untuk menyara hidup dan memberi kepuasan kepada keluarga mereka. Aku masih rasa bersalah kerana aku masih lagi melihat bangsaku begitu jauh ketinggalan dalam dunia perniagaan dan profesional. Aku masih rasa kecewa kerana masih ada bangsaku yang melepak, yang terlibat dalam masalah sosial dan dadah. Aku masih rasa sedih kerana bangsaku walaupun tidak seramai mana jumlahnya dan semakin rapoh kuasa politiknya, masih berpecah belah.
Bangsaku masih ramai yang tidak berjaya menjejakkan kaki ke Menara Gading. Bangsaku masih terlalu ramai menjadi kuli kepada taukeh-taukeh bangsa lain. Bangsaku masih lagi menjadi orang suruhan dan penama kepada taukeh-taukeh bangsa lain. Bangsaku walaupun telah mula berniaga, tetapi masih lagi berniaga di warong-warong dan di bawah payung di tepi-tepi jalan.
Wahai bangsaku, sedarlah dirimu. Wahai bangsaku, belajarlah bersunguh-sungguh untuk meningkatkan keadaan sosial dan ekonomimu. Wahai bangsaku, bertindaklah segera untuk merebut peluang-peluang perniagaan yang ada. Bersatulah kita agar martabat bangsa dan ekonomi bangsa kita dapat dipertingkatkan. Jangan lagi jadi buruh dan kuli. Jangan lagi jadi orang suruhan dan penama. Jangan lagi berniaga setakat di tepi-tepi jalan. Jadilah seorang terpelajar. Jadilah seorang saudagar. Jadilah seorang yang dihormati dan disegani. Jadilah seorang yang berdikari dari segi kewangan dan ekonomi. Jadilah seorang yang kaya raya dan berjaya secara abadi di dunia dan di akhirat nanti. Aku sangat-sangat percaya dan yakin bangsaku boleh. InsyaAllah kita sama boleh.Ini lah doa ikhlas dari seorang anak bangsa yang terlalu sayangkan agama dan bangsanya.
No comments:
Post a Comment