Aku anak kampung. Tetapi anak-anakku semuanya anak bandar.Aku anak orang kampung yang bekerja kampung.Mereka anak orang bandar yang bergelar ahli korporat.Mereka dilahirkan dan dibesarkan di bandar. Mereka bersekolah di bandar.Bandar mencerminkan pembangunan.Bandar mencerminkan kemajuan.Bandar mencerminkan kekayaan dan kemewahan. Bandar mencerminkan kemegahan.Bandar mencerminkan meritokrasi.Bandar mencerminkan kejayaan.Bandar mencerminkan key performance index atau KPI. Bandar mencerminkan persaingan. Bandar adalah pusat segala kegiatan sosial dan ekonomi. Bandar adalah jentera yang sentiasa bekerja dan bergerak tanpa henti,siang dan malam.
Di mana letaknya bangsaku di bandar yang mencerminkan pembangunan, kemajuan, kekayaan, kemegahan, meritokrasi, kejayaan dan persaingan. Di mana letaknya bangsaku di bandar yang menjadi pusat segala kegiatan. Di mana letaknya bangsaku di bandar yang sentiasa bekerja dan bergerak tanpa henti itu.
Golongan mana yang meliki bangunan-bangunan mencakar langit yang nilainya ratusan juta. Golongan mana yang memiliki gudang-gudang dan gedung-gedung perniagaan. Golongan mana yang memiliki pusat-pusat membeli-belah yang berhawa dingin dan selesa untuk anak bangsaku berlepak dan hilai ketawa membimbit topi keledar bersama teman wanita masing-masing.Golongan mana yang memiliki rumah-rumah banglow dan kondominium mewah di pinggir bandar di mana bangsaku yang menjadi jaga dan tukang sapunya. Golongan mana yang memiliki kilang-kilang besar yang menjadi pekerja kilangnya adalah anak bangsaku. Golongan mana yang memiliki kereta-kereta mewah yang mana para pemandunya adalah anak bangsaku.
Golongan mana yang paling ramai dan sentiasa manaikki kapal terbang kelas pertama yang dilayani dengan mesra oleh anak bangsaku untuk melancong ke luar negeri. Golongan mana sebenarnya memiliki saham-saham syarikat besar dipasaran saham yang mana sampul surat yang mengandungi dividen dihantar oleh budak pejabat yang terdiri dari anak bangsaku.
Golongan mana sebenarnya membangun di bandar. Golongan mana sebenarnya yang maju di bandar. Golongan mana yang sebenarnya kaya-raya di bandar. Golongan mana sebenarnya yang selalu bersaing hebat berjaya di bandar. Golongan mana sebenarnya berfaedah dari sistem meritokrasi di bandar.Gulungan mana yang setiap masa menyemak KPI perniagaan masing-masing.
Aku hanya seoraang anak kampung. Aku hanya mampu memperhatikan sahaja segala aktiviti yang berlaku di sekitarku. Aku hanya mampu melihat orang lain yang menikmati kekayaan Bandar dan Negaraku. Aku hanya mampu merasai tempias pembangunan dan kemajuan negara ku. Aku hanya mampu merasa kuah tetapi isinya di ambil oleh gulungan lain.Aku hanya mampu setakat mengambil gambar anak-anak ku posting dicelah-celah bangunan indah.Tetapi aku tetap tidak putus asa. Aku tetap yakin bangsaku juga boleh membangun dan maju. Aku tetap yakin bangsaku juga boleh berjaya dan kaya raya. Aku tetap yakin bangsaku juga boleh bersaing. Aku tetap yakin bangsaku juga boleh mengamalkan sistem meritokrasi. Aku tetap yakin bangsaku boleh berubah ke arah mercu kejayaan.
Semangatku masih kuat dan kental untuk mendorong bangsaku supaya berjaya. Impianku masih wujud untuk melihat realiti yang bangsaku akan menjadi kaya raya. Berubahlah wahai bangsaku ke arah kejayaan. Ambillah peluang-peluang yang terbuka untuk berhijrah dari kedudukan sekarang kepada kedudukan yang berganda baiknya. Berusaha gigihlah wahai bangsaku untuk mencapai kegemilangan. Fokuslah wahai bangsaku terhadap peluang yang di miliki secara berulangan dan bersungguh-sungguh supaya peluang tesebut menggandakan hasil kejayaan.
Wahai anak-anakku yang lahir di bandar. Sebagai orang kampung, ayah ingin menasihati dirimu sekalian. Dirimu semua adalah harapan bapamu. Apabila setiap dirimu berjaya, maka seluruh bangsamu akan berjaya. Bertindaklah sekarang untuk kejayaan. Bertindaklah sekarang untuk kekayaan. Bertindaklah sekarang dengan pantas untuk tidak ketinggalan. Bertindaklah sekarang untuk kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Dirimu berjaya , bangsa dan agamamu juga turut sama berjaya. Dirimu adalah petaruhanku. Pertaruhan untuk memastikan anak-anak dan cucu-cucumu kelak adalah terbela di tanah air sendiri.
MENJADI YANG TERBAIK
ReplyDeleteBukanlah yang dinamakan kaya itu kerana banyak hartanya, tetapi yang dinamakan kaya sebenarnya ialah kekayaan hati..