Thursday, December 17, 2009

Aku Sebagai Pokok Berakar Tunjang Empat - Coretan 6

Aku anak kampung. Sebagai anak kampung aku masih terikat dengan banyak cara kehidupan bercirikan kampung. Antara yang paling jelas ialah berpegang kuat kapada agamaku yang banyak mengajarku tentang ciri-ciri kehidupan yang berdisiplin dan bermoral murni. Ciri-ciri yang mengutamakan kesederhanaan, kasih sayang, kerjasama, amanah dan kemesraan dalam bebagai aspek kehidupan disamping menunaikan tanggungjawap mengerjakan ibadat-ibadat wajib dan sunah.

Tetapi setelah lama menetap di kotaraya, aku dapati ciri-ciri di atas semakin luntur dari menjadi amalan oleh bangsaku. Kita kadang-kadang banyak terikut dengan cara hidup yang kita import dari barat. Kita telah menjadi lebih individualistik, lebih ego, lebih aku aku, engkau engkau, lebih tidak pedulikan orang lain dan lebih utamakan kejayaan dan kecemerlangan diri sendiri, apa jadi pada rakan kita dan masyarakat kita, kita tak ambil kisah. Ibadat-ibadat wajib dan sunah juga seolah-olah dianggap lebih berbentuk budaya dari menjadi tuntutan agama yang mesti di jadikan amalan.

Aku anak kampung. Aku merasakan walaupun bangsaku telah banyak berubah, tetapi aku masih merasa kita tidaklah sehebat mana berbanding dengan bangsa lain. Walaupun kita banyak meniru ciri-ciri kehidupan yang diimport tetapi kita seolah-olah berada ditakuk lama juga secara berbanding.

Wahai bangsaku, kedudukan kita sekarang khususnya dari segi ekonomi dan politik sangat rapuh. Serapuh pokok yang tidak berbaja. Ia akan tumbang sekiranya terus tidak berbaja dan mengeluarkan benih-benih yang banyak dan berkualiti. Untuk terus utuh pokok ini mesti gigih menguat dan menjalarkan akar-akarnya untuk mendapat baja yang terbaik. Kalau boleh biar akar tunjangnya bukan satu tetapi empat, supaya dapat menjalar dan mencengkam empat penjuru dunia dan memperolehi baja yang berkualiti dari setiap penjuru. Aku yakin pokok ini akan menjadi bagitu segar, utuh, kuat dan dapat terus mengeluarkan benih-benih dan pokok-pokok lain yang banyak, segar, utuh dan sekuatnya secara berganda. Tiada angin atau walau sekuat mana pun dapat menggugat kesetabilan pokok ini lagi.

Secara realitinya bangsaku masih belum terlewat. Kita sebenarnya mempunyai banyak kekuatan. Kita masih mempunyai jumlah yang ramai. Tahap kuasa beli kita pun agak tinggi. Walaupun kita ketinggalan dalam perniagaan tetapi kita masih kuat di sektor makan gaji. Ini menolong menambah ‘purchasing power’ kita.

Bangsa lain berjaya dan kaya raya di negara ini pun sebenarnya dengan sokongan kuat bangsaku. Bangsaku yang jadikan mereka kaya dan bergelar jutawan. Bangsaku yang membeli barangan di kedai mereka. Bangsaku yang menjadi pekerja di kedai atau di kilang mereka. Bangsaku yang menjadi pengedar, stokis, downline dan ahli syarikat berbagai perniagaan berasaskan networking kepunyaan mereka. Bangsaku yang menjadi pelayan yang manis-manis di kedai-kedai francais yang tauke-taukenya adalah mereka. Bangsaku yang mendapat lesen atau permit yang kemudiannya dijual atau digadai kapada mereka yang tentunya dalam proses tersebut menjadi lebih kaya dari bangsaku. Bangsaku yang dapatkan kontrak kerajaan dan kemudian dijual dengan keuntungan yang sedikit kapada mereka, kemudian merekalah yang mengaut keuntungan terbanyaknya.

Banyak lagi sebenarnya contoh-contoh yang menunjukkan bangsaku ini dari segi realitinya mempunyai berbagai keistimewaan dan kekuatan. Kita istimewa, kita kuat, kita ada berbagai peluang, kita ada sokongan, kita ada bantuan. Orang lain, bangsa lain tidak punya semua ini. Mereka asalnya menumpang kasih kita. Tetapi realitinya dahulu mereka menumpang kasih kita, sekarang kita pula yang merayu dan menumpang kasih mereka. Kita punya segalanya, tetapi mereka yang mendapat segala nikmat dan menafaatnya. Mereka dalam jumlah yang minoriti tetapi majoriti kekayaan dan harta di negaraku milik mereka.

Wahai bangsaku, sekarang kita masih belum terlewat, sekarang kita tidak boleh tunggu lagi untuk bertindak bagi mengukuhkan ekonomi kita, kewangan kita dan kekayaan kita. Kita milikki segalanya biarlah mulai sekarang kita pula mendapat segala nikmatnya. Kita punyai kekuatannya, biarlah mulai sekarang kita pula gunakan segala kekuatan kita ini untuk kuatkan ekonomi bangsa kita sendiri.

InsyaAllah kita sedar sekarang. Kita akan kembali ke pangkal jalan. Masa masih belum terlewat, kita sanjung dan amal balik semua ciri-ciri asal kita. Kita kikis ciri-ciri dan amalan-amalan yang diimport. Kita ‘close rank’ dan kembali kepada asal kita. Kita satu bangsa yang hebat, tak perlu kita amal apa yang diimport kerana ia sebenarnya melalaikan kita, menselesakan kita dan menjauhkan kita dari sumber kekuatan kita iaitu agama kita yang tercinta. Mulai sekarang tiada siapa lagi boleh menghalang kita untuk kita berjaya di dunia dan di akhirat.

Wahai bangsaku kita perlu bekerjasama, kita perlu menolong sesama kita, kita perlu berdoa untuk diri kita dan kawan kita. Kita perlu jujur kepada diri, kawan dan bangsa kita. Kita tidak mahu lagi berusaha keras untuk memperkayakan orang lain, kita perlu ada tanggungjawap untuk bangsa sendiri. Kita akan jadikan bangsa kita berjaya, bangsa kita kaya dan bangsa kita punyai harta. Dah banyak kita tolong bangsa lain, sekarang giliran kita pula tolong bangsa sendiri. Kuatkan kedudukan kita dalam semua aspek baik ianya ekonomi, sosial mahu pun politik. Pastikan kita, keluarga, rakan, jiran dan masyarakat kita semuanya berjaya dan kaya raya. Ini janji dan tekad kita sekarang. Kita tidak leka dan lalai lagi.Mulai sekarang kita akan perkuatkan tunjang kita,bukan hanya satu tunjang tetapi empat tunjang.Kita mahu akar-akar kita menjalar jauh dan aggresif mendapatkan baja-baja terbaik dari empat penjuru alam,supaya kita sebagai pokok berakar tunjang empat tidak boleh digugat lagi oleh sekuat mana sekali pun puting beliong yang merempuh kita. Kita akan lakukannya, kita tidak akan menangguhnya lagi. Kita akan lakukannya sekarang juga.

1 comment:

  1. People like you with many interests live, not only longest, but happiest...

    ReplyDelete