Wednesday, December 23, 2009

Adakah Bangsaku Berubah 200% Dalam Masa 30 Tahun?- Coretan 7

Aku anak kampung. Tetapi telah lebih 30 tahun aku tidak lagi bermastautin di kampung. Aku menetap di bandar sekarang. Tetapi jiwa ku masih jiwa kampung. Aku sentiasa berfikir tentang kampung. Berfikir tentang orang kampung. Berfikir tentang rakan-rakan sepermainan dan sepersekolahan semasa di kampung. Sesekali apabila aku balik kampung, aku bertemu dengan mereka, dengan keluarga dan anak-anak mereka.

Secara fizikal keadaan kampungku berubah. Jalan tidak lagi becak dan berselut. Kanak-kanak ke sekolah dengan berbasikal atau dihantar dengan motosikal oleh emak atau ayah mereka. Rumah orang kampung juga telah berubah wajah dari beratap rumbia keatap genting atau paling tidak ‘ardex’ atau ‘zink’. Anak-anak tidak lagi berkaki ayam ke sekolah. Sememangnya dalam masa 30 tahun ada perubahan fizikal yang ketara.

Tetapi 30 tahun adalah satu jangka masa yang lama. Dari segi negara, keadaan sekarang berbanding 30 tahun yang lalu adalah lama. Keadaan ekonomi negara telah banyak berubah. Disekitar akhir tahun 70han atau awal 80han dahulu negara kita tanpa mempunyai kilang-kilang yang besar, tanpa lebuhraya, tanpa bangunan tinggi, tanpa pusat-pusat membeli-belah yang moden, tanpa keretapi LRT, ERL, Monorail,MRT tanpa jumlah kereta yang banyak dan canggih, tanpa stesen TV swasta dan tanpa banyak lagi siaran yang boleh dilihat. Secara umumnya ekonomi kita berkembang hampir 200% dalam masa 30 tahun.

Negara berkembang sebanyak 200%, tetapi adakah orang-orang kampungku berkembang selaju 200% sejak 30 tahun yang lalu. Adakah masyarakat kampungku yang menjadi sebahagian penduduk bangsaku berkembang selaju itu. Adakah kalau dahulu orang-orang kampungku menjual sayur-sayuran, buah-buahan atau kuih-muih di pasar atau di pekan adakah anak-anak mereka telah berjaya sekarang ini menjadi usahawan dan saudagar besar bergelar dan disegani. Kalau dahulu mereka kebanyakkannya petani, kuli, polis dan askar sekarang ini anak-anak mereka semuanya telah menjadi akauntan, peguam, doktor atau pengurus-pengurus yang bergaji lima atau enam angka. Sememangnya ada yang telah berjaya. Masakan tidak ada kalau negara telah berkembang 200%, tentu bangsaku juga telah berkembang.
Persoalannya, gulungan mana pula yang lebih banyak mendapat faedah perkembangan dan pembangunan pesat negara kita ini. Tak perlu aku kaji, statistik atau angka-angka mengenai perkembangan bangsaku. Kita lihat sahaja secara mata kasar kita, orang-orang kampungku masih lagi cara hidupnya kekal seperti 30 tahun dahulu. Cara pemikiran, percakapan dan sikap mereka tidak banyak berubah. Secara berbanding ekonomi negara berkembang pesat tetapi ekonomi bangsaku adalah tidak begitu jelas dapat dilihat dengan mata kasar.

Perkembangan dapat dilihat jelas dengan mata kasar. Hanya perkembangan ekonomi bangsaku masih tidak berapa jelas dapat dilihat dengan mata kasar. Yang jelas cuma perubahan rumah dari beratap rumbia kepada atap ‘ardex’, rumah berdinding buluh kepada berdinding kayu atau separuh ‘concrete’. Dari berjalan kaki kepada berbasikal. Dari berbasikal kepada bermotosikal. Dari bermotosikal ke Proton Waja atau Wira ‘secondhand’. Yang bergaji tetap seperti kerani, pegawai atau guru dapatlah memiliki kereta Kancil, Wira atau Waja baru. Dari berkain pelekat ke berseluar panjang atau ‘jeans’ yang berjenama, tetapi yang dibeli di kedai ‘bunddle’. Memang semua ini adalah perubahan. Perubahan ini adalah sihat dan menggalakkan. Bangsa ku memang telah banyak berubah. Cuma tahap perubahannya yang jadi persoalan. Orang lain pun berubah. Tetapi perubahan yang berlaku pada orang lain adalah berbeza. Mereka berubah dari berumah papan dan beratap ‘zink’ ke rumah ‘bungalow’ atau ‘Condo’ mewah. Mereka berubah dari berbasikal kepada kereta ‘Mercedes Benz’. Malah ramai yang mempunyai Jet peribadi.

Perubahan yang mereka alami adalah pesat dan berganda-ganda. Kekayaan mereka miliki adalah berlipat kali ganda. Jumlah mereka kecil tetapi majoriti harta kekayaan negara adalah milik mereka. Kenapa ini berlaku, sebabnya mereka berubah berganda-ganda. Mereka berubah bukan sekali ganda, tetapi beribu kali ganda, berjuta kali ganda. Dari dahulunya penjual besi buruk kepada saudagar besi buruk malah kepada pemilik kilang besi terkemuka.

Dari penjual sampah kepada pemilik kilang. Dari tukang baiki kereta kepada pemilik rangkaian bengkel dan ‘spare part’ yang beratus juta nilainya. Dari jurujual jadi pemilik gedung dan ‘supermaket’. Dari buruh kepada kontraktor besar. Dari pekerja kilang kepada taukeh kilang. Dari penjaja kepada pengeluar atau pengilang. Dari pengurus harta kepada pemilik syarikat hartanah yang disenaraikan di pasaran saham utama. Dari pengguna elektrik kepada taukeh IPP yang pendapatannya ratusan juta sehari. Dari penonton TV kepada pemilik station TV yang menawarkan hampir 100 saluran pilihan.

Semasa cuti sekolah yang lepas aku dan keluarga ku balik ke kampung asal ku. Masyarakat kampung begitu selesa dengan kehidupan mereka. Aku balik kampung setiap tahun dua atau tiga kali setahun, tetapi keadaan masyrakat kampung ku dari tahun ke tahun sama sahaja. Tidak ada berita yang menggemparkan kecuali satu persatu generasi yang terdahulu meninggalkan kampung ku. Tiada berita seperti anak si-anu tu telah membuka sebuah kilang, anak si-anu tu baru sahaja membeli sebuah pusat beli belah di bandaraya, anak si-anu itu telah menambah lagi projek perumahannya yang bernilai ratusan juta, anak si-anu itu telah jadi CEO sebuah syarikat koporat yang disenaraikan di papan utama bursa saham. Anak si-anu tu baru minggu lepas balik dengan heli sendiri. Tiada tanda berita-berita sensasi seperti ini yang ku dengar di kampungku.

Seperti ku katakan sememangnya kampung ku berubah, orang kampung ku juga berubah. Tetapi adakah setakat perubahan yang demikian yang ku ingin lihat berlaku pada bangsaku. Air dari hulu walaupun tidak berlaku apa-apa perubahan akan sampai juga ke muara satu hari nanti. Bangsa ku juga dengan beredarnya masa tetap akan berubah. Adakah ianya adalah memadai, adakah perubahan ini dapat memastikan bangsa ku tidak ketinggalan. Perubahan yang berlaku selari dan seiringan dengan masa adalah perubahan yang terpaksa dilalui. Ia hanya seperti air yang mengalir dari hulu ke muara. Ia tidak menjadi bangsa ku kehadapan berbanding dengan bangsa lain. Perubahan yang diperlikann oleh bangsaku sekiranya ingin setanding dan ke depan dari bangsa lain haruslah berbentuk luar biasa. Bukannya perubahan biasa. Perubahan yang perlu dilakukan haruslah berganda-ganda, bukan setakat adanya sahaja perubahan.

Zaman remaja sebagai pekerja bengkel. Zaman dewasa pemilik rangkaian bengkel-bengkel. Ayah bekerja sebagai peniaga warong, anak mempunyai kilang. Ayah seorang guru, anak berjaya buka sebuah hospital persendirian. Ayah seorang askar, anak pemilik sebuah pusat membeli-belah. Ini dinamakan perubahan luar biasa. Ini dinamakan perubahan yang berganda-ganda. Orang kampungku perlu perubahan yang luar biasa ini, perubahan yang berlipat kali ganda ini. Bangsa ku perlukan perubahan yang bersifat luar biasa dan berganda-ganda ini.Kita perlu berubah bukan setakat 200% dalam 30 tahun yang lepas tetapi kita perlu berubah sekurang-kurang 100% dalam masa 10 tahun yang akan datang.

No comments:

Post a Comment